Sunday 26 June 2011

PANTUN

Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. 


Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.


Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. 


Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.



Contoh:-


Pantun Sirih Pinang
Sirih junjung sirih pinang

Sirih kami susun bertingkat
Adat dijunjung pusaka dikenang
Bangsa berbudi hidup muafakat

Sirih junjung sirih pinang
Sirih kuning diberi nama
Adat dijunjung pusaka dikenang
Hidup berbudi muafakat bersama

Sirih kuning sirih dara
Sirih tanya berserta cincin
Hidup beradat aman sejahtera
Budaya lama tetap terjamin

Sirih kuning diberi nama
Sirih tanya berserta cincin
Hidup berunding muafakat bersama
Bangsa mulia budaya dijamin

Orang Jawa turun ke dusun
Singgah sejenak di pinggir kota
Kami bawa sirih tersusun
Sudilah sepiak pembuka kata


Pantun Agama

Dia membuat sebilah pedang,
Disimpan gula dengan sirih;
Sudah ada Nabi Adam,
Ada pula Nabi Idris.

Dua belas bintang di langit,
Bintang di raja dari Melaka;
Kata tuan pinang bersisit,
Kapur bercampur air mata.

Hanyut pinang dari hulu,
Pinang berisi madu lebah;
Bila terkenang zaman dahulu,
Rindu sekarang menggigit lidah.

Hilir rakit sungai sempit,
Anak raja turun menuba;
Hulur sirih jari dipicit,
Itulah tempat muda mencuba.

Kalau nak tau ara berbunga,
Sirih kuning di celah lantai;
Kalau nak tau syurga dunia,
Putih kuning panjang lampai.

Kalau tak boleh sirih Cina,
Sirih di darat ku ambil juga;
Jika tak boleh atas dunia,
Di dalam akhirat ku ambil juga.

Kalau tuan mengasah kapak,
Ngasah mari sepagi hari;
Saya bawa sirih setepak,
Untuk saya ganti diri.


Monday 20 June 2011

DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR & DAYA TAHAN OTOT

Pada artikel yang lepas, kita sudah berkenalan dengan matapelajaran pendidikan jasmani. Hari ini, kita akan mengetahui apa itu daya tahan kardiovaskular dan daya tahan otot.

Daya Tahan Kardiovaskular


Daya tahan kardiovaskular atau kecergasan jantung bermaksud kecekapan sistem peredaran dan sistem pernafasan untuk membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan pada jangka masa yang panjang semasa melakukan aktiviti. Ia merupakan komponen yang terpenting dalam profil fisiologi manusia.
Senaman tetap akan meningkatkan kecekapan sistem peredaran dengan membesarkan otot jantung, membolehkan lebih banyak darah dipam pada setiap degupan, dan meningkatkan jumlah arteri kecil dalam otot rangka terlatih, yang membekalkan lebih darah ke otot yang bekerja. Senaman juga memperbaiki sistem pernafasan dengan meningkatkan jumlah oksigen yang disedut dan diedarkan ke tisu badan.
Tahap kecergasan meningkat apabila keupayaan daya tahan kardiovaskular melebihi tahap purata kapasiti aerobik, iaitu kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh badan semasa melakukan aktiviti fizikal.
Bagi menentukan taraf kecergasan aerobik seseorang ialah dengan mengambil kadar nadi rehat. Nadi rehat yang rendah menandakan kecergasan jantung yang baik. 

Jadual di bawah digunakan untuk mengetahui taraf kecergasan jantung anda.

              Sangat cergas........................bawah 50 denyutan seminit.
              Cergas..................................51 - 69 denyutan seminit.
              Sederhana.............................70 - 80 denyutan seminit.
              Tidak Cergas..........................lebih dari 80 denyutan seminit.




Daya Tahan Otot
Daya tahan otot adalah kompenan kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan selain daripada kekuatan otot, kelembutan dan kelenturan, komposisi lemak badan dan daya tahan kardiovaskular.

Daya tahan otot merupakan keupayaan otot atau kumpulan otot dalam melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan dalam masa yang lama. Daya tahan otot dibahagikan kepada dinamik dan statik. Ianya adalah berkaitan dengan kebolehan otot untuk mengulangi pergerakan submaximal rintangan atau tekanan untuk mengekalkan darjah ketegangan mengatasi masa.

Johnson dan Nelson (1986), menyatakan bahawa daya tahan otot ialah keupayaan otot mengulang pergerakan merentang halangan dan tekanan sambil mengekalkan ke satu tahap ketegangan melepasi satu jangka masa. 

Corbin dan Lindsey (1985), daya otot ialah keupayaan otot atau sekumpulan otot melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Corbin dan Linsey (1985), daya tahan otot terbahagi kepada dua jenis iaitu;
i. Daya tahan otot statik
Kebolehan otot menampung beban kerja pada kedudukan yang tepat pada satu jangka masa. Contohnya gaya siku bengkok.

ii. Daya tahan otot dinamik
Kebolehan otot menguncup dan relaks secara berulang-ulang. Daya tahan otot diukur berdasarkan ulangan yang mampu dilakukan pada satu jangka masa. Contohnya tekan tubi.


Corbin dan Lindsey (1988), berpendapat bahawa penguncupan otot terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

i.Penguncupan isotonik 
Kedudukan otot berada dalam keadaan memendek atau memanjang dengan regangan yang tidak sama semasa mengangkat beban yang konsisten. Penguncupan otot jenis ini dikenali juga sebagai dinamik atau ‘phasic’.

Penguncupan isotonik pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu :
          a. Pengucupan kosenterik
              Keadaan otot memendek semasa menguncup.
              Contohnya mengangkat dumbell.

          b. Pengucupan esentrik
              Keadaan otot memanjang semasa penguncupan.
              Contohnya semasa menuruni tangga.


ii. Pengucupan Isometrik
Otot dalam keadaan statik di mana regangan bertambah tetapi panjang otot tidak berubah. Contohnya menolak dinding.

iii. 
Pengucupan Isokinetik
Pergerakan yang melibatkan regangan otot yang maksimum dengan kelajuan yang konstan pada otot yang tertentu.
Contohnya ialah latihan menggunakan alat seperti mengayuh(rowing) yang mempunyai kelajuan dan rintangan
.


Sunday 19 June 2011

TATABAHASA BAHASA MELAYU

Hai pembaca yang budiman! Harini saya nak berkongsi mengenai tatabahasa bahasa melayu. 


Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang:

  • Morfologi: kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan.
  • Sintaksis: kajian tentang pembentukan ayat.


Morfem

1.       Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkaaan.

2.       Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini erdirid aripada satu unit atau satu morfem. Misalnya minum.

3.       Minum tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num

4.       Sebaliknya, kata diminum boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di dan minum.

5.       Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.


Morfem dapat dibahagikan kepada dua jenis seperti berikut:


 

Morfem bebas
Morfem terikat/imbuhan
1.       Dapat berdiri sendiri, misalnya,minum, cuti, sekolah, periksa
2.       mempunyai makna sendiri
1.       Bentuk imbuhan, misalnya, mem, per, kan, ber
2.       Tidak mempunyai makna, tapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata, dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan

Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)

Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.

Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"

Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.

Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem

MORFEM --> PERKATAAN --> FRASA --> KLAUSA --> AYAT

SINTAKSIS
Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.

Ayat
Untuk rencana lanjutan, lihat Jenis Jenis Ayat
Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.
Contoh: Ahmad sedang membuat kerja rumah.

Contoh ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu 
(i)     Ahmad sedang dan bahagian 
(ii)   membuat kerja rumah. 
Bahagian subjek dan predikat, merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat bahasa Melayu. 
Subjek dan prediket pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN)frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).

Subjek AyatPredikat AyatFrasa SubjekFrasa PredikatRumus Pola Ayat
Ahmadmengulangkaji tatabahasaFrasa NamaFrasa KerjaFN + FN
Cikguke sekolahFrasa NamaFrasa Sendi NamaFN + FS
Fatimahamat rajinFrasa NamaFrasa AdjektifFN + FA
Ah Chongseorang usahawanFrasa NamaFrasa NamaFN + FN


Frasa
Frasa ialah satu binaan atau unsur ayat yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua perkataan atau jika terdiri daripada satu perkataan, ia berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat.

Seperti yang diterangkan di atas, ada empat jenis frasa iaitu FN, FK, FA dan FS. Menurut binaannya, frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu frasa endosentrik dan frasa eksosentrik. 
Frasa endosentrik ialah frasa yang mengandungi satu unsur inti. Unsur inti ini mewakili seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini. FN, FK dan FS ialah frasa endosentrik. Ini kerana kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu.
Contohnya: sepasang mata biru (FN. Inti frasa ini ialah mata, jenis kata nama)
Manakala frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama yang tidak mempunyai unsur inti contohnya ke tandas dan di sekolah . Kewujudan sendi nama di bergantung pada sekolah dan ke kepada tandas. Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik kerana pusatnya bergantung pada suatu unsur luaran.

Binaan Ayat
  • Bahagian subjek dan bahagian predikat merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat dalam Bahasa Melayu. Subjek dan predikat mempunyai unsur-unsur.
  • Perhatikan contoh di bawah:

SubjekSubjek
Bah. AyatUnsurBah. AyatUnsur
Ah Tian guru senaman 
Tipah membeli gula 
Suara ketua pengawas itu serak-serak basah 
Munainady menoreh getah 

  • Jadual di atas menunjukkan rumus binaan ayat yang mudah. Bahasa subjek dibina oleh frasa nama dan predikat dibina sama ada oleh frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Ayat Dasar dan Ayat Terbitan
  • Perhatikan ayat berikut:
Pelajar itu membaca buku.

Ayat ini terdiri daripada satu klausa kerana mempunyai satu subjek (pelajar itu) dan satu predikat (membaca buku).
  • Ayat seperti ini dipangil ayat dasar kerana menjadi punca penerbitan ayat-ayat lain.
  • Jika kita hendak menambah maklumat kepada maklumat kepada maklumat asas itu dengan penerangan kepada maklumat asas itu dengan peneragan kepada subjek atau penerangan kepada predikat, maka ayat berkenaan boleh menjadi seperti berikut:
Pelajar tingkatan enam itu membaca buku. (tingkatan enam menjadi penerang kepada pelajar, iaitu subjek ayat)

Pola Ayat Dasar
  • Pola ayat dasar mempunyai rumusnya tersendiri.
  • Rumus-rumus ini boleh terdiri daripada unsur-unsur Frasa Nama (FN), Frasa Kerja (FK), Frasa Adjektif (FA) atau Frasa Sendi Nama (FS)
  • Lihat contoh berikut:
Subjek AyatPredikat AyatFrasa SubjekFrasa PredikatRumus Pola Ayat
Jamilahpengurus sumber manusiaFrasa NamaFrasa NamaFN+FN
Atanbudak pandaiFrasa NamaFrasa AdjektifFN+FA

Saturday 18 June 2011

PENDIDIKAN JASMANI SEKOLAH RENDAH

Artikel saya pada kali ini berkisar mengenai pendidikan jasmani. Sebelum saya bercerita lanjut mengenai pendidikan jasmani sekolah rendah ini, mari kita berkenalan dulu dengan pendidikan jasmani. 


Pendidikan jasmani merupakan suatu proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor; pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optimum dan keadaan baik; memperoleh pengetahuan, dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal Jenny (1961) dan Williams (1964) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial.




Beberapa pendapat mengenai pendidikan jasmani..
Barrow (1971, 1983) menyatakan Pendidikan Jasmani dalam konteks ‘pengalaman pendidikan menyeluruh’ dan berkait dengan hal seumur hidup setiap individu.
Baley & Field (1976), satu proses pengubahsuaian dan pembelajaran berkenaan organik, neuromaskular, intelektual, sosial, budaya, emosional dan estetik, hasil melalui aktiviti-aktiviti fizikal yang terpilih dan agak rancak,
Freeman (1977, 1992) menegaskan bahasa Pendidikan Jasmani meliputi pembangunan fizikal dan mental dan menumpu pada tiga domain pendidikan, iaitu psikomotor, kognitif dan efektif.
Lumpkin (1990) berpendapat Pendidikan Jasmani merupakan suatu proses yang membolehkan individu mempelajari kemahiran-kemahiran fizikal, mental dan sosial serta tahap kecergasan yang tinggi.
Dauer (1995) berpendapat Pendidikan Jasmani ialah sebahagian daripada program pendidikan yang menyeluruh, yang memberi sumbangan pada asasnya melalui pengalaman-pengalaman pergerakan kepada perkembangan dan pembangunan keseluruhan kanak-kanak.

TUJUAN PENDIDIKAN JASMANI

Bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan. Pembelajaran dilakukan dengan mengutamakan tiga perkara utama :
Kognitif Mengetahui dan memahami akan aspek kecergasan dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Tumpuan diberi kepada komponen kecergasan berasaskan fizikal.


KECERGASAN
Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara berterusan. Kecergasan terbahagi kepada dua:


a)  Kecergasan berasaskan kesihatan
      - daya tahan kardiovaskular
      - daya tahan otot
      - kekuatan
      - kelenturan
      - komposisi badan


b)  Kecergasan berasaskan perlakuan
      - koordinasi
      - imbangan
      - ketangkasan
      - kuasa
      - masa tindakbalas
      - kepantasan


KEMAHIRAN
Konsep tunjang ini menitikberatkan keupayaan melakukan kemahiran daripada aspek pergerakan otot. Tumpuan diberi kepada kemahiran asas dalam permainan, olahraga, gimnastik, pergerakan kreatif dan rekreasi.


Thursday 16 June 2011

TEKNIK MENJAWAB PENULISAN BAHAGIAN C

Hari ini, saya ingin kongsikan teknik menjawab penulisan bahagian C. 

Sebelum saya kongsikan lebih jauh lagi, kita haruslah mengetahui format bahagian C ini.

Format Bahagian C

1. Dalam bahagian ini pelajar akan diberikan sebuah petikan faktacerita, dialog atau pun puisi (sastera atau bukan sastera). Bahagian ini tiada pilihan soalan dan wajib dijawab.

2. Pelajar dikehendaki membuat ulasan mengenai petikan yang diberi berdasarkan arahan yang diberikan.

3. Jawapan yang diberikan mestilah di dalam satu perenggan sahaja.

4. Maksima 50 patah perkataan sahaja.

5. Cadangan masa menjawab ialah 20 minit dan markah yang diberikan ialah 20 markah.


Berikut ialah beberapa teknik sebelum, semasa dan selepas menjawab bahagian C.

Sebelum Menjawab

1. Baca dan fahami arahan soalan.

2. Fahami kata kunci yang diberi sama ada meminta menulis tentang
     a) nilai murni,
     b) amalan baik,
     c) pengajaran atau seumpamanya.

3. Baca petikan atau puisi yang diberi secara keseluruhan dan cuba faham isi kandungannya.

4. Baca petikan atau puisi yang diberi sekali lagi secara ayat demi ayat dan gariskan perkataan, frasa / rangkaikata yang mempunyai nilai-nilai murni, pengajaran atau sebagainya mengikut arahan soalan.

5. Jika terdapat nilai yang negatif, jadikan nilai itu kepada positif. 
( Contoh: bangun lewat - bangun awal / malas ke sekolah - rajin ke sekolah)


Semasa Menjawab

1. Berpandukan nilai-nilai murni/pengajaran yang telah dicatat, tulis jawapan dengan menggunakan ayat sendiri dan cuba gunakan penanda wacana yang sesuai untuk membina ayat yang gramatis.

2. Pengajaran/nilai murni yang ditulis hendaklah disertai contoh-contoh dalam petikan.

3. Hanya contoh yang terdapat dalam petikan sahaja diterima.

4. Ulasan hendaklah tulis dalam satu perenggan sahaja.

5. Elakkan / jangan menyalin semula nilai murni/pengajaran atau petikan kerana ini menyebabkan aras penskoran akan turun.

6. Peribahasa atau kata hikmat tidak perlu dimasukkan.

7. Ulasan tidak perlu terlalu panjang. Satu nilai memadailah dengan satu ayat  (8-12 patah perkataan)


Selepas Menjawab

1. Baca semula keseluruhan jawapan dan semak 5 aspek kesalahan bahasa dari segi perbendaharaan kata, struktur ayat, imbuhan, ejaan dan tanda baca.

2. Pastikan tiada idea / isi yang tertinggal. Lima idea/isi/nilai murni/pengajaran mesti dikemukakan.

3. Baiki tulisan/perkataan yang tidak jelas.

4. Jangan mencatat di ruangan jawapan.


Malangnya, kebanyakan pelajar melakukan kesalahan berikut:

1- Tidak memahami kehendak soalan.

2- Menyalin semula ayat berdasarkan petikan.

3- Tidak dapat mengenal pasti nilai-nilai murni.

4- Mengulas cerita yang diberikan, tetapi tidak memberi ulasan mengenai nilai-nilai murni.

5- Memberikan nilai-nilai murni yang tidak berkaitan dengan petikan (pelajar memberikan nilai-nilai murni yang dihafal/diketahui sahaja).

6- Banyak kesalahan dalam aspek bahasa.

Tuesday 14 June 2011

Selamat Datang

Bismillah..

Salam sejahtera..

Alhamdulillah.. 
setelah berusaha sedaya mungkin. Akhirnya 'Duniaku Guru' berjaya dilahirkan.

Terima kasih 
buat Encik Hasnan yang banyak memberikan panduan. 
Tidak lupa juga pada teman-teman seperjuangan yang tidak putus-putus memberi dorongan.

P/S: kawan-kawan, jadi la follower blog saya.
 "I will follow you.." ^_^

 
Hakcipta 2011 DUNIAKU GURU (S210277)
Dibangunkan oleh NMZ. Tema oleh BloggerThemes