Monday 20 June 2011

DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR & DAYA TAHAN OTOT

Pada artikel yang lepas, kita sudah berkenalan dengan matapelajaran pendidikan jasmani. Hari ini, kita akan mengetahui apa itu daya tahan kardiovaskular dan daya tahan otot.

Daya Tahan Kardiovaskular


Daya tahan kardiovaskular atau kecergasan jantung bermaksud kecekapan sistem peredaran dan sistem pernafasan untuk membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan pada jangka masa yang panjang semasa melakukan aktiviti. Ia merupakan komponen yang terpenting dalam profil fisiologi manusia.
Senaman tetap akan meningkatkan kecekapan sistem peredaran dengan membesarkan otot jantung, membolehkan lebih banyak darah dipam pada setiap degupan, dan meningkatkan jumlah arteri kecil dalam otot rangka terlatih, yang membekalkan lebih darah ke otot yang bekerja. Senaman juga memperbaiki sistem pernafasan dengan meningkatkan jumlah oksigen yang disedut dan diedarkan ke tisu badan.
Tahap kecergasan meningkat apabila keupayaan daya tahan kardiovaskular melebihi tahap purata kapasiti aerobik, iaitu kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh badan semasa melakukan aktiviti fizikal.
Bagi menentukan taraf kecergasan aerobik seseorang ialah dengan mengambil kadar nadi rehat. Nadi rehat yang rendah menandakan kecergasan jantung yang baik. 

Jadual di bawah digunakan untuk mengetahui taraf kecergasan jantung anda.

              Sangat cergas........................bawah 50 denyutan seminit.
              Cergas..................................51 - 69 denyutan seminit.
              Sederhana.............................70 - 80 denyutan seminit.
              Tidak Cergas..........................lebih dari 80 denyutan seminit.




Daya Tahan Otot
Daya tahan otot adalah kompenan kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan selain daripada kekuatan otot, kelembutan dan kelenturan, komposisi lemak badan dan daya tahan kardiovaskular.

Daya tahan otot merupakan keupayaan otot atau kumpulan otot dalam melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan dalam masa yang lama. Daya tahan otot dibahagikan kepada dinamik dan statik. Ianya adalah berkaitan dengan kebolehan otot untuk mengulangi pergerakan submaximal rintangan atau tekanan untuk mengekalkan darjah ketegangan mengatasi masa.

Johnson dan Nelson (1986), menyatakan bahawa daya tahan otot ialah keupayaan otot mengulang pergerakan merentang halangan dan tekanan sambil mengekalkan ke satu tahap ketegangan melepasi satu jangka masa. 

Corbin dan Lindsey (1985), daya otot ialah keupayaan otot atau sekumpulan otot melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Corbin dan Linsey (1985), daya tahan otot terbahagi kepada dua jenis iaitu;
i. Daya tahan otot statik
Kebolehan otot menampung beban kerja pada kedudukan yang tepat pada satu jangka masa. Contohnya gaya siku bengkok.

ii. Daya tahan otot dinamik
Kebolehan otot menguncup dan relaks secara berulang-ulang. Daya tahan otot diukur berdasarkan ulangan yang mampu dilakukan pada satu jangka masa. Contohnya tekan tubi.


Corbin dan Lindsey (1988), berpendapat bahawa penguncupan otot terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

i.Penguncupan isotonik 
Kedudukan otot berada dalam keadaan memendek atau memanjang dengan regangan yang tidak sama semasa mengangkat beban yang konsisten. Penguncupan otot jenis ini dikenali juga sebagai dinamik atau ‘phasic’.

Penguncupan isotonik pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu :
          a. Pengucupan kosenterik
              Keadaan otot memendek semasa menguncup.
              Contohnya mengangkat dumbell.

          b. Pengucupan esentrik
              Keadaan otot memanjang semasa penguncupan.
              Contohnya semasa menuruni tangga.


ii. Pengucupan Isometrik
Otot dalam keadaan statik di mana regangan bertambah tetapi panjang otot tidak berubah. Contohnya menolak dinding.

iii. 
Pengucupan Isokinetik
Pergerakan yang melibatkan regangan otot yang maksimum dengan kelajuan yang konstan pada otot yang tertentu.
Contohnya ialah latihan menggunakan alat seperti mengayuh(rowing) yang mempunyai kelajuan dan rintangan
.


1 komen:

Unknown said...

artikel yang sngat membantu

Post a Comment

 
Hakcipta 2011 DUNIAKU GURU (S210277)
Dibangunkan oleh NMZ. Tema oleh BloggerThemes